DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

25 November, 2012

ANGGOTA AMAL : JANGAN SYIRIK DALAM PERJUANGAN ISLAM

Sebagai seorang muslim dan mengaku memperjuangkan Islam, kita memang mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan kita kepada 'berhala-berhala' di dalam hati?

Inilah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati.

Kita amat yakin dan mengaku kebal iman dalam diri dan sama sekali tidak syirik terhadap Allah SWT kerana tidak pernah menyembah berhala dan sebagainya. Sebabnya perbuatan tersebut sudah diketahui umum boleh menyebabkan seorang Muslim menjadi murtad dan keluar dari Islam. Kebanyakan masyarakat Islam meletakkan perkara itu sebagai sempadan dari terjadinya hal yang merosakkan Iman. Dan ada juga yang faham, hanya perbuatan sedemikian sahaja boleh sebabkan syirik.

Tersebut ialah SYIRIK JALI yang setiap umat Islam cuba elak daripada melakukannya. Tetapi dalam berjaga-jaga itu, syirik khafi atau syirik tersembunyi sebenarnya dilakukan setiap hari oleh kebanyakan orang Islam. Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati. Ini terjadi dan dilakukan samaada kita sedari atau dilakukan didalam keadaan tidak sedar.

Menurut penerangan para Arifin Billah (pakar agama), antara sembahan-sembahan hati yang paling lumrah bagi manusia ialah:

i) penyembahan kepada nafsu/diri sendiri

ii) penyembahan kepada dunia dan perhiasannya

iii) penyembahan kepada pangkat dan kekayaan

iv) penyembahan kepada kedudukan dan jawatan

v) penyembahan kepada wanita

vi) tawakal kepada kekuatan diri atau kekuatan makhluk

vii) tawakal kepada kehebatan sains dan teknologi dan lain-lain

Segelintir umat Islam menganggap syirik khafi sebagai perkara kecil sahaja. Namun pandangan sebeginilah yang mengundang bahaya yang lebih besar. Menurut tafsiran ulama-ulama tasawuf, syirik khafi walaupun tidak membatalkan iman namun memberi kesan kepada amal dan boleh merosakkan keimanan jika dibiarkan berlaku dan menjadi pakaian umat sehari-hari.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar." (Riwayat Al Hakim)

Penyembahan kepada berhala-berhala hati ini juga menyebabkan manusia menjadi bongkak dan riak tanpa disedari. Terlalu yakin terhadap kelebihan diri sendiri. Perbuatan sebegini sebenarnya mengundang resah kepada Rasulullah sebagaimana sabdanya:

"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (Riwayat Imam Ahmad)

Benar dalam kehidupan, kita selalu memandang hal yang besar tanpa mempedulikan perkara-perkara kecil. Namun perlu diketahui yang kecil dan halus itulah lebih mudah menyerang dan merebak sehingga akhirnya kita terperangkap tanpa sedar. Sungguhpun syirik khafi tidak membatalkan iman seseorang, tetapi jika dibiarkan ia boleh mencederakan tauhid dan pengesaan terhadap Allah.

Jangan terlampau yakin bila kita tidak pernah menyembahkan tuhan lain selain Allah, kita bebas dari melakukan syirik. Ketahuilah bahawa perjuangan melawan sifat-sifat jahat dalam hati terutamanya syirik khafi adalah jihad sepanjang hidup. Jangan terhenti dari jihad ini kerana sejarah telah membuktikan manusia-manusia alim juga boleh tewas dengan rayuan iblis dan syaitan. Sehingga hati dan iman menjadi binasa.

Oleh itu berhati-hatilah dengan perbuatan, pengungkapan serta kata hati kita setiap hari. Apa jua yang terjadi dan berlaku semuanya atas kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Bukan atas kehebatan dan keupayaan diri sendiri, benda mahupun makhluk lain yang sebenarnya tidak punya kuasa apa-apa!

Bentuk-Bentuk Syirik Khafi

Terlalu banyak syirik khafi berlaku meliputi diri kita sendiri atau yang bersangkut dengan makhluk lain. Kebanyakannya berlaku dalam keadaan kita lalai daripada mengingat Allah.

1) Bergantung Hati Kepada Sesuatu Selain Allah

Apabila seseorang melihat dirinya melakukan ibadah yang banyak,atau melihat dirinya mempunyai kebijaksanaan dan kehebatan sehingga berjaya memperoleh suatu kebaikan.

Atau menyandarkan sesuatu kebaikan yang diperoleh disebabkan manusia lain atau benda lain yang di jadikan oleh Allah seperti ubat-ubatan atau ketinggian sains dan teknologi dan sebagainya.

Contoh 1 :
Seorang lelaki yang telah sembuh dari sakit, merasakan ubat yang dimakan itulah yang menyembuhkan penyakitnya.

Contoh 2 :
Seorang Pengarah Syarikat yang berjaya membawa kejayaan kepada syarikat merasakan kejayaan tersebut dicapai hasil usahanya dan dibantu oleh pekerja-pekerja lain.

2) Ujub

Menurut pengertian yang diberi oleh Imam Al-Ghazali ;
"Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan nikmat pada diri seseorang. Terjadi 'ujub adalah didalam hati, tanpa terzahir sifat rasa bangga dirinya pada tingkah laku atau perkataan."

Contoh 1 :
Seorang melakukan solat larut malam lalu berkata di dalam hati, " Hairan aku dapat melakukan ibadat yang begitu banyak."

Contoh 2 :
Seseorang wanita yang cantik berasa betapa hebatnya diri dengan kecantikan tersebut.

3) Riya'

Riya' dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.

Tiga keadaan berlaku Riya' pada hati seseorang yang melakukan beribadat/melakukan kebajikan.

Niat hati seseorang perlu di awasi pada 3 keadaan ketika beramal.;
1) Pada permulaan melakukan ibadat.
2) Ketika sedang melakukan ibadat.
3) Setelah selesai melakukan ibadat.

Kebanyakan orang beramal biasanya ikhlas pada permulaan ibadatnya. Tetapi gangguan riya' datang ketika sedang beramal atau sesudah beramal. Dengan demikian seseorang wajib berhati-hati dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba mewaswaskan hati supaya berubah niat.

4) Takabbur (Membesarkan Diri)

Takabur adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain. Sifat ini lahir dari hati dan ada kalanya terzahir dalam perkataan dan perbuatannya.

Punca wujudnya takabur pada diri seseorang adalah disebabkan wujudnya suatu kelebihan atau dia merasa kesempurnaan berbanding manusia lain.
1. Takabur dengan Ilmu.
2. Takabur dengan Amal.
3. Takabur dengan tubuh badan – kecantikan, kekuatan dan lain-lain
4. Takabur dengan harta, anak dan kekayaan dunia.
5. Takabur dengan banyak pengikut
6. Takabur dengan kemuliaan keturunan.
7. Takabur dengan kekuasaan.

JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK DI MUKTAMAR PAS, PUTIK

12 - 18 November 2012 Seramai 20 orang anggota terlatih Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak telah bertugas di Muktamar PAS ke 58 di PUTIK, Kota Bharu, Kelantan. Kontijen petugas dari negeri Perak adalah yang pertama tiba dan diberikan tugas-tugas seperti berikut:

  1. Kebersihan dan keceriaan kawasan PUTIK, Kelantan.
  2. Kawalan keselamatan pintu utama PUTIK dari 7.00pagi - 1.00petang dan 7.00 malam - 1.00pagi.
  3. Kawalan lalulintas dan trafik program-program di PUTIK, Dewan MPKB dan Dewan KTC bersama Kontijen Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang dari 7.00pagi - 12.00malam.
Semoga segala pengorbanan mereka dibalas dengan ganjaran Allah SWT di akhirat kelak.














KULIAH USTAZ SIDEK NOOR : AQIDAH DAN PERJUANGAN

JANGAN LUPA UCAPAN USTAZ ABU BAKAR

JABATAN AMAL PERAK TERUSKAN BERBAKTI UNTUK RAKYAT KERANA ALLAH: PESURUHJAYA PAS PERAK

IPOH, 4 Mac, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian melahirkan rasa penghargaan yang sangat tinggi dari PAS Perak kepada seluruh anggota Jabatan Amal khususnya di Perak yang telah banyak membantu PAS Perak dari segala sudut.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis Hari Keluarga Jabatan Amal Perak bersama pimpinan PAS Perak di Hulu Kinta Ipoh.

ustbakarserbanMenurut beliau, PAS sangat menghargai Jabatan Amal yang telah ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu yang mana hari ini Jabatan Amal semakin mengorak langkah megah sebagai sebuah pasukan sukarela yang disegani lawan dan kawan.

Hal ini dapat dilihat dengan pengiktirafan orang ramai terhadap badan sukarela itu yang menunjukkan kumpulan ini semakin diterima masyarakat, jelas beliau.

Memetik ucapan beliau,

“ Jika dahulu berpakaian hijau tetapi sekarang dengan pakaian merah hati, beserta beret ala komando, ahli Jabatan Amal gagah melangkah ditengah-tengah masyarakat apabila ada sesuatu bencana atau keadaan yang memerlukan tenaga sukarela”

“ Lihat sahaja sumbangan besar ahli Jabatan Amal dalam beberapa pehimpunan yang besar, tugas mereka jelas membantu pasukan keselamatan awam bagi mengawal keadaan”

“Begitu juga dalam peristiwa banjir besar yang berlaku di seluruh negara ahli Jabatan Amal akan memberikan sumbangan yang besar dalam aspek kebajikan”

“ Malah ramai diantara ahli Jabatan Amal mereka juga telah menyumbang tenaga sukarela mereka sehingga ke peringkat antarbangsa”

Dalam ucapannya juga, Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan bahawa ahli Jabatan Amal sebagai golongan yang sedia memberikan khidmat secara ikhlas kepada masyarakat tanpa ada apa-apa ganjaran menarik.
Beliau seterusnya menyeru masyarakat setempat yang hadir agar turut serta dalam Jabatan Amal ini agar jabatan ini dapat diperkuatkan lagi fungsinya.

Turut serta dalam majlis itu ialah Haji Razman selaku Timbalan 3 Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Dahlan Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Nazre Din dan Ustaz Hafez Sabri dari Dewan Pemuda PAS Perak.

DARI :

http://ustazabubakar.wordpress.com/tag/jabatan-amal-perak-teruskan-berbakti-untuk-rakyat-kerana-allah-pesuruhjaya-pas-perak/


KEJAYAAN TERKINI ANGGOTA AMAL PERAK : KOMEN PENGARAH

25 NOVEMBER 2012 IPOH - Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak Al-Ameed Arif Bin Sha'arani di dalam majlis penutup Kursus SISPEK BIL. 1/2012 ingin mengingatkan kembali semua komander dan setiausaha Amal Kawasan untuk sentiasa memperkasakan ilmu, kerana tanpa ilmu seseorang itu akan beramal sepertinya binatang yang hidup tidak berakal.

Sebagai seorang anggota amal yang bergerak secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran selain dari ganjaran Allah SWT kita harus berpegang teguh terhadap perkara tersebut.

Mengambil kata-kata Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin yang sentiasa mengingati anggota amal "JANGAN LARI NIAT! kita beramal kerana Allah oleh yang demikian niat kita jangan lari dari KERANA ALLAH".

"Jangan ada anggota amal yang memegang jawatan, melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab dengan niat mencari populariti, pujian, sanjungan, pingat dan apa saja bentuk ganjaran dunia. Yang perlu kita cari ialah ganjaran Allah SWT. Jangan ambil kira siapa pun yang kita bantu walaupun orang UMNO sekalipun, kita bantu kerana Allah bukan kerana kepentingan politik, bab hidayah serah sahaja pada Allah" katanya lagi.

Selain itu beliau menerangkan kejayaan terkini yang dicapai oleh dua anggota amal iaitu En. Abdul Rahim (Pak Rahim) dan Saudara Adib baru-baru ini adalah satu bukti keberkesanan dan keberhasilan kurikulum dan latihan yang diterapkan di dalam Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak. Beliau juga menegaskan bahawa kita perlu berterima kasih dan memberikan pujian kepada agensi yang banyak membantu dan bekerjasama iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sering membantu dan bekerjasama dalam pelbagai latihan dan operasi.

"Kejayaan ini bukanlah kejayaan yang pertama bagi Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak, kita telah terlibat dalam pelbagai jenis operasi bantuan namun tidak pernah diiktiraf oleh pelbagai pihak." katanya.

Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak perlu bergerak kehadapan bukan kebelakang, anggota amal perlu berpakaian kemas dan beretika supaya tidak diperlekehkan kerana bertugas memakai selipar dan berpakaian tidak kemas sedangkan kekemasan diri adalah salah satu Sunnah Rasulullah SAW. "Macam mana orang nak hormat kita kalau kita berkawad pun tak bersungguh dan masih ada pakai seluar JEANS, bertugas pakai selipar, kalau Pejuang Islam terdahulu sendiri pun memakai pakaian yang seragam dan segak untuk menggerunkan lawan, inikan kita" Jelasnya lagi.

Anggota amal juga dipohon hadir dalam sessi latihan atau kursus untuk menimba ilmu dan mengikuti latihan-latihan teori dan praktikal Jabatan bersama agensi lain seperti Cawangan Trafik PDRM, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan pelbagai Agensi/NGO lain.

Al-Ameed Arif Bin Sha'arani sekali lagi menegaskan bahawa hubungan dan kerjasama baik Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO lain telah wujud dan masih kekal lagi sejak PR memerintah Perak dahulu walaupun setelah kerajaan dirampas.

"Kalau kita mahu orang hormat kita, kita kena belajar hormat orang lain. Kalau kita ingin orang iktiraf kita, kita kena belajar mengiktiraf orang lain. Jangan terlalu asyik dengan kejayaan kita sehingga kita lupa diri sedangkan kejayaan kita itu datangnya dari bantuan dan keizinan Allah SWT, Kita kena tingkatkan lagi usaha dan amal kita supaya jabatan kita dipandang tinggi dan Islam itu dipandang tinggi, Jangan asyik dengan kejayaan lama sentiasa buat kejayaan baru" Katanya lagi.

KEJAYAAN OPERASI JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK BERSAMA AGENSI KERAJAAN LAIN

  1. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA JAMBATAN RUNTUH KUALA DIPANG - Mayat pelajar india pertama dijumpai oleh anggota amal Kuala Dipang.
  2. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA AIR TERJUN BATU BERANGKAI KAMPAR - Mayat pelajar Unitar dijumpai oleh sekumpulan anggota amal bersama Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar yang sama-sama turut sertai operasi mencari.
  3. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA HANYUT ANAK KARTIKA KUALA KANGSAR - Mayat anak kartika dijumpai oleh anggota amal Kuala Kangsar dan dibawa di dalam bot penyelamat Jabatan.
  4. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA HANYUT LENGGONG - Mayat pelajar timbul betul-betul dihadapan anggota amal lenggong.
  5. OPERASI BANTUAN MENCARI KOMANDO HILANG - Mayat dijumpai oleh dua anggota terlatih Jabatan yang keluar mencari berdua walaupun tidak dibenarkan dan diperdulikan. 

 *Semua kejayaan diatas tidak pernah diberikan pengiktirafan di dalam media massa dan secara rasmi mungkin kerana Jabatan Amal Malaysia ini adalah sebuah pergerakan beruniform dibawah PAS...

KEJAYAAN JAB. AMAL MALAYSIA NEG. PERAK : PETANDA BANTUAN ALLAH KEPADA PAS


10 Nov 2012 KUALA KANGSAR: Dua anggota Unit Amal berjaya menemui mayat anggota tentera berpangkat koperal yang hilang ketika menjalani latihan penerjunan di Redang Panjang, Kubu Gajah, 7 November lalu.

Mayat Supain Gane, 37, yang hilang ketika menjalani latihan penerjunan bebas Ex Tiger Warrior siri pertama dikawasan itu.

Abdul Rahim Syukor, 61, bersama Mohd Adib, 21,ditugaskan oleh Unit Amal Perak untuk membantu operasi mencari mayat anggota tentera tersebut yang dilaporkan hilang beberapa hari.

Abdul Rahim berkata, beliau bersama seorang lagi anggota Unit Amal itu melapor diri di Bilik Gerakan Bomba di Ladang Holiwood.

Menurutnya, di peringkat awal, mereka tidak dibenarkan menyertai bersama 117 anggota penyelamat yang lain atas alasan keselamatan. Namun, mereka berdua tekad untuk turun membantu mencari anggota tentera yang hilang tersebut.

“Lebih kurang 10 minit sahaja kami mencari, kami telah menjumpai mayat tersebut di sebuah paya dalam kebun getah.

“Kami jumpa dalam keadaan yang sangat singkat sedangkan 177 anggota penyelamat yang lain sudah mencari berapa sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas diraikan dalam satu majlis ceramah di Kuala Kangsar semalam.

Kata Abdul Rahim, operasi mencari dan menyelamat terdiri daripada Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Unit Amal yang menghantar hanya dua orang petugas.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss memberikan sagu hati meraikan kejayaan Unit Amal walaupun di dalam akhbar arus perdana tidak langsung menyebut bahawa anggota Unit Amal yang menjumpai mayat tersebut.

Raja Ahmad berkata, beliau bangga dengan kejayaan ini dan seharusnya mereka diktiraf oleh semua pihak.

“Walaupun tidak diberi sebarang elaun mahupun gaji, namun mereka istiqamah membuat kerja-kerja kebajikan,” jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak.