DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

08 Februari, 2014

PADAHNYA KALAU KEPIMPINAN ORGANISASI YANG TIDAK BERILMU DAN BODOH SOMBONG

Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ; Maksudnya;

"Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ; Maksudnya; 

“Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ; Maksudnya ; 

“Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

Dari Abu Hurairah r.a : Pada suatu ketika Nabi saw sedang berbicara dengan orang ramai (memberi ceramah atau pengajian), tiba-tiba datang seorang Arab Dusun menanyakan kepada beliau, ‘Bilakah datangnya saat (kiamat)?’ Nabi saw tidak langsung menjawab, tetapi beliau meneruskan pembicaraannya dengan orang ramai. 

Kerana sikap Nabi saw yang demikian itu, sementara orang mengatakan Nabi saw mendengar pertanyaan itu, tetapi beliau tidak menyukainya dan setengah lagi mengatakan beliau tidak mendengarnya.

Setelah Nabi saw selesai berbicara, beliau bertanya, “Di mana orang yang bertanya perkara saat (kiamat) tadi?” Orang itu menyahut, “Saya! Ya Rasulullah!” Rasulullah saw bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan orang, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat).”  Tanya orang itu, “Bagaimanakah caranya disia-siakannya amanah?” Jawab Nabi saw, “Apabila suatu urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat/kehancuran)
Hadis 0049 : Sahih Bukhari

Sejarah telah membuktikan empayar Islam bangkit dengan kepimpinan yang berilmu, beriman dan bertawakal kepada Allah. Namun empayar Islam jatuh kerana kepimpinan yang bodoh sombong, yang tidak menghiraukan teguran dan nasihat orang yang berilmu. Seperti mana kisah Saidina Umar Abdul Aziz yang menegur kepimpinannya kerana ingin menaikkan cukai kepada rakyat sedangkan harta kepimpinan kerajaan pada masa itu masih belum terusik. Kita lihat bagaimana seorang Ulama Besar diperlakukan dan bagaimana empayar tersebut akhirnya jatuh.

Jabatan Amal Malaysia juga tidak terkecuali dalam proses ini, jika kepimpinannya dipilih dikalangan mereka yang tidak berilmu dan tidak pula diberikan pada ahlinya maka kita tunggulah kehancurannya. 

Sebagai contoh jika seseorang itu hanya dipilih untuk memegang jawatan tertinggi hanya dengan kriteria senioriti (masuk unit amal sejak dalam sekolah lagi) sedangkan pelbagai ilmu amal yang sepatutnya dia telah kuasai tidak dia kuasai. Berkawad kaki dan menjaga lalulintas yang merupakan kemahiran asas sendiri pun tak dikuasai maka bersedihlah anda kerana sesungguhnya anda telah berpemimpinkan orang yang bukan ahlinya.

Kesimpulan bagi kesemua ayat-ayat Allah SWT dan hadith Rasullullah SAW di atas. Kita bukan sahaja perlu melantik pemimpin kita dari kalangan orang yang berilmu namun perlulah kita melantik orang yang ahlinya. 

Jika seorang Siswazah dilantik untuk memegang jawatan Setiausaha namun secara realitinya dia tidak berpengalaman / berpengetahuan dalam pengurusan, pentadbiran dan operasi maka pincanglah segala perjalanan jabatan tersebut.

Jika seorang Ahli Senior dilantik sebagai ALP sedangkan beliau tidak berilmu, berpengalaman dan tidak berpengetahuan dalam pengurusan dan pentadbiran maka hancurlah jabatan tersebut..

Maka dengan itu fikir-fikirlah.....

JANGAN MENJADI AHLI AMAL YANG HANYA MENONTON KEBANGKITAN DAN KEHANCURAN JABATAN ANDA...