DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

25 November, 2012

KEJAYAAN TERKINI ANGGOTA AMAL PERAK : KOMEN PENGARAH

25 NOVEMBER 2012 IPOH - Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak Al-Ameed Arif Bin Sha'arani di dalam majlis penutup Kursus SISPEK BIL. 1/2012 ingin mengingatkan kembali semua komander dan setiausaha Amal Kawasan untuk sentiasa memperkasakan ilmu, kerana tanpa ilmu seseorang itu akan beramal sepertinya binatang yang hidup tidak berakal.

Sebagai seorang anggota amal yang bergerak secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran selain dari ganjaran Allah SWT kita harus berpegang teguh terhadap perkara tersebut.

Mengambil kata-kata Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin yang sentiasa mengingati anggota amal "JANGAN LARI NIAT! kita beramal kerana Allah oleh yang demikian niat kita jangan lari dari KERANA ALLAH".

"Jangan ada anggota amal yang memegang jawatan, melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab dengan niat mencari populariti, pujian, sanjungan, pingat dan apa saja bentuk ganjaran dunia. Yang perlu kita cari ialah ganjaran Allah SWT. Jangan ambil kira siapa pun yang kita bantu walaupun orang UMNO sekalipun, kita bantu kerana Allah bukan kerana kepentingan politik, bab hidayah serah sahaja pada Allah" katanya lagi.

Selain itu beliau menerangkan kejayaan terkini yang dicapai oleh dua anggota amal iaitu En. Abdul Rahim (Pak Rahim) dan Saudara Adib baru-baru ini adalah satu bukti keberkesanan dan keberhasilan kurikulum dan latihan yang diterapkan di dalam Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak. Beliau juga menegaskan bahawa kita perlu berterima kasih dan memberikan pujian kepada agensi yang banyak membantu dan bekerjasama iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sering membantu dan bekerjasama dalam pelbagai latihan dan operasi.

"Kejayaan ini bukanlah kejayaan yang pertama bagi Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak, kita telah terlibat dalam pelbagai jenis operasi bantuan namun tidak pernah diiktiraf oleh pelbagai pihak." katanya.

Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak perlu bergerak kehadapan bukan kebelakang, anggota amal perlu berpakaian kemas dan beretika supaya tidak diperlekehkan kerana bertugas memakai selipar dan berpakaian tidak kemas sedangkan kekemasan diri adalah salah satu Sunnah Rasulullah SAW. "Macam mana orang nak hormat kita kalau kita berkawad pun tak bersungguh dan masih ada pakai seluar JEANS, bertugas pakai selipar, kalau Pejuang Islam terdahulu sendiri pun memakai pakaian yang seragam dan segak untuk menggerunkan lawan, inikan kita" Jelasnya lagi.

Anggota amal juga dipohon hadir dalam sessi latihan atau kursus untuk menimba ilmu dan mengikuti latihan-latihan teori dan praktikal Jabatan bersama agensi lain seperti Cawangan Trafik PDRM, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan pelbagai Agensi/NGO lain.

Al-Ameed Arif Bin Sha'arani sekali lagi menegaskan bahawa hubungan dan kerjasama baik Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO lain telah wujud dan masih kekal lagi sejak PR memerintah Perak dahulu walaupun setelah kerajaan dirampas.

"Kalau kita mahu orang hormat kita, kita kena belajar hormat orang lain. Kalau kita ingin orang iktiraf kita, kita kena belajar mengiktiraf orang lain. Jangan terlalu asyik dengan kejayaan kita sehingga kita lupa diri sedangkan kejayaan kita itu datangnya dari bantuan dan keizinan Allah SWT, Kita kena tingkatkan lagi usaha dan amal kita supaya jabatan kita dipandang tinggi dan Islam itu dipandang tinggi, Jangan asyik dengan kejayaan lama sentiasa buat kejayaan baru" Katanya lagi.

KEJAYAAN OPERASI JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK BERSAMA AGENSI KERAJAAN LAIN

  1. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA JAMBATAN RUNTUH KUALA DIPANG - Mayat pelajar india pertama dijumpai oleh anggota amal Kuala Dipang.
  2. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA AIR TERJUN BATU BERANGKAI KAMPAR - Mayat pelajar Unitar dijumpai oleh sekumpulan anggota amal bersama Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar yang sama-sama turut sertai operasi mencari.
  3. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA HANYUT ANAK KARTIKA KUALA KANGSAR - Mayat anak kartika dijumpai oleh anggota amal Kuala Kangsar dan dibawa di dalam bot penyelamat Jabatan.
  4. OPERASI BANTUAN MENCARI MANGSA HANYUT LENGGONG - Mayat pelajar timbul betul-betul dihadapan anggota amal lenggong.
  5. OPERASI BANTUAN MENCARI KOMANDO HILANG - Mayat dijumpai oleh dua anggota terlatih Jabatan yang keluar mencari berdua walaupun tidak dibenarkan dan diperdulikan. 

 *Semua kejayaan diatas tidak pernah diberikan pengiktirafan di dalam media massa dan secara rasmi mungkin kerana Jabatan Amal Malaysia ini adalah sebuah pergerakan beruniform dibawah PAS...

Tiada ulasan: