DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

DARI PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA NEGERI PERAK

03 Disember, 2012

PERBEZAAN ANTARA WALA DAN THIQAH: PART 1

"SEMOGA ALLAH MEMBERKATI SEGALA USAHA MENELITI HUKUMNYA UNTUK MEMANTAPKAN IMAN KITA DAN MENEGAKKAN ISLAM DI TEMPAT TERTINGGI" 

Islam melarang isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami; tetapi dalam masa yang sama, adalah satu larangan dalam Islam juga, sekiranya suami terlalu mengongkong Isteri sehingga tidak membenarkan langsung isteri keluar dari rumah.

Memahami ini, jelas kepada kita, Islam tidak sahaja memberikan hak kepada pihak suami sahaja, tetapi dalam masa yang sama, hak pihak isteri juga diberikan keadilan sama.

Seorang penjual mempunyai hak ke atas barang yang hendak dijual. Pun begitu, penjual itu tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya, kerana penjual mesti menjaga hak pembeli juga.

Serupa juga dengan pimpinan atasan. Islam meletakkan kewajipan orang bawahan memberi ketaatan kepada pemimpin. Pun begitu, pemimpin wajib juga menjaga hak orang bawahan.

Tidak menipu, tidak melakukan kezaliman, tidak mengkhianati, tidak menyeleweng, tidak berat sebelah dan sebagainya merupakan cara untuk pimpinan menjaga thiqah.

Justeru, apabila Pimpinan atasan sudah menjaga thiqah, barulah orang bawahan wajib memberi wala'. Tanpa thiqah dari pihak atasan, maka tiada wala' terhadap pimpinan atasan. Bermakna, thiqah itu datang dari pimpinan atasan. Wala' itu datang dari orang bawahan. Kedua-dua perkara wajib seiring dan sejalan.

Jika pimpinan atasan tidak menjaga thiqah, lalu mewajibkan kepada orang bawahan memberi wala', ini bukan konsep wala' dalam Islam, tetapi ini adalah 'wala' ala paderi di zaman Karl marx'.

Sumber di atas di petik dari : Al-Bakistani (ustaz_bakistani@yahoo.com)

JANGAN ROBOHKAN DOKTRIN WALA', TAAT DAN THIQAH.

Wala’, taat, thiqah adalah kalimah yang begitu popular dalam gerakan Islam seperti Pas. Doktrin inilah yang menjadikan asas dan tiang kepada perjuangan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini. Setiap ahli Pas sudah berbai’ah ketika mengisi borang ahli Pas. Walaupun ada pemimpin yang cabut lari, ahli tetap bersama dengan roda putaran Pas. Mereka tetap dengan Pas, kerana mereka taat selagi pemimpin tidak menyeleweng dengan menyertai pihak musuh.

Mereka sudah diajar oleh baginda Nabi SAW ketika melakukan Baiat al-Aqabah yang terkenal sebelum baginda berhijrah. Rasulullah SAW bersabda Maksudnya,

“Berbaiahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di atas cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah swt tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbaiah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, jadi untuk kamu ialah balasan syurga”.

Hebat macam mana seorang pemimpin kalau ia telah keluar dari Pas ia tidak akan ditaati. Contoh yang boleh kita lihat Datuk Asri Haji Muda orang yang hebat ketika itu dengan kelicikan berpolitik dan seorang pemidato yang ulung di negara ini. Tetapi apabila beliau keluar daripada Pas maka ia menjadi melukut di tepi gantang.

Apakah kita hendak kata bodoh kepada ahli Pas yang wala’ kepada arahan pimpinan apabila calon yang bertanding di kawasan itu bukan calon Pas. Walaupun peringkat jentera parti bermatian mahu calon Pas yang bertanding. Tetapi kepimpinan tetap juga hendak meletakkan calon di kalangan rakan Pakatan Rakyat (dulunya Barisan Alternatif).

Walaupun peringkat akar umbi tahu bahawa kekuatan jentera dan ahli di tangan Pas. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat maka ia dipatuhi oleh ahli Pas. Mereka bertungkus lumus untuk memastikan calon rakan menang. Semuanya ini adalah contoh wala dan thiqah kepada pemimpin.

Dalam berjamaah mana ada keputusan yang diputuskan oleh jamaah semuanya ahli bersetuju. Kalau hendak tunggu semuanya bersetuju maka tidak akan bertemu keputusan.

Sama seperti dalam syarikat mana ada keputusan yang 100% di setujui oleh ahli mesyuarat. Hatta di zaman nabi SAW pun apabila keputusan diputuskan oleh nabi SAW ada yang tidak berpuas hati contohnya, peristiwa pembahagian ghanimah selepas daripada peperangan Hunaian.

Rasulullah SAW telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam. Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan;

“Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih menitiskan darah mereka”

Rasulullah SAW mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,

“Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Rasulullah SAW meneruskan,

“Hai kaum Ansar, apakah kerana kamu marah kerana tidak menerima sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa.”

Ini berlaku di zaman nabi SAW yang masih menjadi contoh yang hidup pada ketika itu. Maka apalah sangat di zaman kini yang semakin jauh daripada contoh nabi SAW.

Kerana itulah perjuangan Pas memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan Pas yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan.

Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran Islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ahli itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini. Dalam medan pertempuran kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi:

-Bilangan yang cukup
-Keperluan yang lengkap
-Kesediaan fizikal yang mantap

Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.
Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaimana firmannya:

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)

“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

Kalau pemimpin tidak ikhlas mereka akan lari, kerana Pas bukan sesuai untuk orang jahat. Jangan pula kita menuduh bahawa wala’ , thiqah ini candu dalam Pas untuk membolehkan pemimpin melalikan pengikut.

Ini satu tuduhan yang berat. Perlu disedari kebanyakan ahli Pas ini mereka juga pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin di peringkat cawangan atau lajnah. Kalau kita tidak taat nanti orang pula tidak taat kepada kita, akhirnya yang hancur ialah Pas, yang ketawa ialah umno BN. Walaupun kita marah kepada pemimpin tetapi jangan kita merobohkan “Intitusi” wala’ taat dan thiqah.

Kita boleh melahirkan rasa tidak puas hati kepada jamaah di majlis yang sepatutnya (mesyuarat atau perjumpaan), tetapi bukan dalam blog. Menceritakan keaiban parti dalam blog sama seperti mendedahkan keaiban suami isteri kepada musuh dan musuh akan adu domba supaya ia menceraikan isteri dan dia akan berkahwin dengan bekas jandanya.

Faedah Taat, wala’ dan thiqah - Ahli dapat menunai tugas mengikut arahan parti supaya tidak menyalahi strategi parti
·         Pas mampu mengerahkan ahli untuk turun demo yang besar seperti BERSIH, Mansuh ISA, PPSMI
·         Pas mampu mengerahkan tenaga dalam setiap kali pilihanraya tanpa diupah -Supaya tidak timbul jamaah dalam jamaah.
·         Dapat bertindak secara jama’i bukan individu. -Supaya kesannya terasa kepada jamaah dan masyarakat kerana ia dilakukan oleh parti.
·         Seandainya berlaku kegagalan ia ditanggung oleh jamaah bukan oleh individu.
·         Dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang lambat dan ada yang sederhana.

Sejarah membuktikan mereka tidak taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah akhirnya menyertai umno. Teringatkah kita tokoh-tokoh seperti Ustaz Mohd Nor Idris, Ustaz Mustafa Taib, Wan Ismail Machang yang lantang mengkritik Pas dan pemimpin kerana bertahalluf dengan Parti Semangat 46 kerana parti ini adalah warisan umno. Akhirnya mereka bersama dengan umno apabila Pas berpisah dengan parti Semangat 46.

Adakah mampu Pas untuk melakukan demikian kalau kita cuba memusnahkan “institusi doktrin” yang sudah lama dibina. Umno gagal merobohkannya daripada luar, jangan pula kita sendiri yang hendak membantu merobohkan. Umno gagal hendak membina doktrin ini, mereka hanya boleh hidup dan bernafas dengan wang dan kuasa sahaja. Umno tidak ada wala’, taat dan thiqah, tetapi Pas ada perkara ini.

Sumber di petik dari : pasjerai.com

Kesimpulan:

Pemimpin sesebuah jemaah Islamiah seperti PAS perlu menghormati segala hak orang bawahan sebelum mereka memohon atau meminta orang bawahan mereka memberikan wala' kepada mereka. Pemimpin juga perlu ada sifat amanah, wala' dan thiqah kepada pemimpin yang lebih atas dan adil kepada orang bawahan. Jika pemimpin itu sendiri menunjukkan sifat tidak amanah, kepimpinan yang lemah, korup dan tidak adil maka tidak layak untuk diberikan wala'

Namun begitu sebagai orang bawahan sesebuah jemaah Islamiah seperti PAS kita wajib memberikan wala' kepada pemimpin kita dan sekiranya kita ingin menegur pemimpin kita haruslah kena pada tempatnya dan betul pada salurannya kerana PAS mempunyai mesyuarat, perjumpaan, liqa' fikri dan muktamar sebagai medan ahli menegur pemimpin dan menurunkan pemimpin yang seumpama "duri dalam daging atau gunting dalam lipatan". Bukan di dalam blog dan sebagainya sehingga membuka segala rahsia jemaah dan merugikan jemaah dalam perjuangan menegakkan Islam dimuka bumi Allah ini.

Wallahuallam,

Takbir...

Tiada ulasan: